Angkara seludup motosikal Harley Davidson, CEO Garuda dipecat

Agensi
Disember 7, 2019 08:16 MYT
Bayaran bagi pembelian barangan seludup tersebut dikatakan dibuat menerusi seorang pengurus kewangan Garuda yang berpangkalan di Amsterdam. - REUTERS
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Garuda Indonesia, Ari Askhara bakal dipecat atas dakwaan menyeludup motosikal mewah Harley Davidson ke negara itu.
Kementerian Perdagangan Indonesia, Erick Thohir berkata, Ari menyeludup bahagian-bahagian motosikal klasik tahun 1970-an itu dan basikal lipat Brompton, menerusi pesawat Airbus A330-900 Neo Garuda dari Perancis pada bulan lalu.
Dalam pada itu, sumber mendedahkan bahawa cukai yang cuba dielakkan dianggarkan AS$57,000 (RM237,091).
Bayaran bagi pembelian tersebut dikatakan dibuat menerusi seorang pengurus kewangan Garuda yang berpangkalan di Amsterdam.
Sementara itu, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan jika kakitangan Garuda lain turut terlibat.
Penyeludupan itu terbongkar apabila para pegawai kastam menemui barang-barang tersebut di bahagian bagasi penumpang.
Untuk rekod, hasil kekayaan yang dimiliki oleh Ari Askhara ialah berjumlah RM11.14 juta dan sebanyak RM406,000 bagi nilai kenderaan yang dimilikinya.
Namun, dalam rekod tersebut tidak disebutkan pula motorsikal Harley dan basikal lipat Brompton seperti yang dilaporkan.
Bagaimanapun, pengganti CEO syarikat Garuda itu akan diumumkan dalam mesyuarat pemegang saham syarikat tersebut yang juga merupakan sebuah syarikat awam.
#Airbus #CEO #Garuda #Harley Davidson #Indonesia #motosikal mewah
;