Angkara Sandy: Ribuan penerbangan ditangguh

Astro Awani
Oktober 29, 2012 16:06 MYT
Ribuan penerbangan di timur laut Amerika Syarikat terpaksa dihentikan hari ini berikutan ancaman Taufan Sandy menyebabkan ramai penumpang terkandas. Ribut kencang yang berlaku memaksa perjalanan udara dihentikan sekurang-kurangnya selama dua hari bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.
Penerbangan utama seperti American Airlines, JetBlue dan Delta merancang untuk membatalkan semua penerbangan keluar dan masuk di tiga lapangan terbang di New York yang merupakan ruang udara tersibuk di negara itu.
Menurut perkhidmatan pengesan penerbangan FlightAware, hampir 7,500 penerbangan telah dibatalkan untuk hari Ahad dan Isnin. Kedua-dua Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark iaitu pengkalan utama bagi United Airlines, masing-masing mempunyai lebih daripada 1,200 pembatalan untuk dua hari.
Penangguhan penerbangan di AS banyak memberi kesan kepada pelancong di bandar-bandar seperti San Francisco ke Chicago serta gangguan tersebut juga melibatkan Eropah dan Asia dimana penerbangan-penerbangan tersebut menangguh atau terus membatalkan penerbangan ke New York dan Washington dari bandar-bandar pelancongan utama seperti Berlin, Paris, Tokyo dan Hong Kong.
#Amerika Syarikat #Taufan Sandy
;