Angka korban terus meningkat, 49 terbunuh, hilang dalam hujan lebat di Korea Selatan

Bernama
Julai 17, 2023 12:00 MYT
Laluan bawah tanah Osong di tengah bandar Cheongju dinaiki air pada Sabtu apabila sungai berhampiran melimpah akibat benteng runtuh, menyebabkan 15 kenderaan, termasuk sebuah bas terperangkap dalam air. - Foto REUTERS
SEOUL: Empat lagi mayat ditemukan dari jalan bawah tanah yang dinaiki air, menjadikan jumlah yang maut atau hilang dalam hujan lebat yang melanda Korea Selatan, baru-baru ini kepada 49 orang, kata pegawai pada Isnin.
Laluan bawah tanah Osong di tengah bandar Cheongju dinaiki air pada Sabtu apabila sungai berhampiran melimpah akibat benteng runtuh, menyebabkan 15 kenderaan, termasuk sebuah bas terperangkap dalam air.
Empat lagi mayat ditemukan semalaman, menjadikan jumlah kematian kepada 13, menurut Agensi Berita Yonhap.
Di seluruh negara, 39 orang, termasuk 19 di wilayah tenggara Gyeongsang Utara dilaporkan terbunuh setakat 6 pagi selepas hujan lebat melanda negara itu sejak minggu lalu, menurut Ibu Pejabat Pusat Keselamatan dan Pencegahan Bencana.
Sehingga 6 pagi, sembilan orang masih hilang, termasuk lapan di Wilayah Gyeongsang Utara, manakala 34 orang dilaporkan cedera.
Angka korban kemungkinan meningkat memandangkan lebih 10 kenderaan dipercayai ditenggelami air dan anggota penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
Di seluruh negara, 10,570 orang berpindah apabila rumah mereka rosak akibat banjir.
Sebanyak 628 kemudahan awam dan 317 harta persendirian lain rosak, termasuk 146 jalan raya runtuh atau hanyut dan 139 rumah dinaiki air.
Sejumlah 28,607 isi rumah di seluruh negara terputus bekalan elektrik.
Lebih 500 milimeter (mm) hujan melanda kawasan tengah dan selatan sejak 9 Julai, termasuk 626 mm di Gongju, Wilayah Chungcheong Selatan, 614 mm di daerah Cheongyang berhampiran, 580 mm di tengah. bandar Sejong dan 522 mm di Mungyeong, Wilayah Gyeongsang Utara.
Amaran hujan lebat dikeluarkan untuk wilayah Chungcheong, wilayah selatan dan Pulau Jeju setakat pagi Isnin dan wilayah Jeolla dan kawasan berdekatan mungkin mengalami hujan lebih lama sehingga 40 mm sejam, lapornya.
Sehingga Selasa, 200 mm hujan diramalkan di Chungcheong dan wilayah selatan, dan antara 10 mm hingga 100 mm hujan dijangkakan melanda seluruh negara.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #bencana alam #hujan lebat #angka korban
;