Angka korban Taufan Helene melebihi 200 di Amerika Syarikat

Bernama
Oktober 4, 2024 10:20 MYT
Seorang penduduk tempatan melintasi tapak runtuhan sebuah penempatan yang terjejas teruk akibat Taufan Helene di Pensacola, Carolina Utara . - Gambar AP
NEW YORK: Angka korban akibat Taufan Helene di negeri-negeri tenggara Amerika Syarikat kini melebihi 200 orang pada Khamis, lapor Xinhua yang memetik laporan NBC News.
Sekurang-kurangnya 204 orang disahkan maut di enam negeri akibat Taufan Helene sejak ia melanda Florida seminggu lalu.
Agensi berita itu turut melaporkan bahawa ratusan lagi masih hilang dan hampir sejuta penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik.
Helene kini menjadi taufan paling dahsyat yang membadai Amerika Syarikat sejak Taufan Katrina pada 2005.
Lebih separuh daripada jumlah kematian dilaporkan berlaku di utara Carolina, dengan sekurang-kurangnya 98 mangsa terkorban.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Rabu mengerah sehingga 1,000 anggota tentera untuk menyokong penghantaran makanan, air, dan bekalan keperluan penting kepada komuniti yang terjejas.
Anggota tentera yang dikerah adalah tambahan kepada lebih 1,000 anggota Pengawal Kebangsaan Carolina Utara yang kini sedang mempercepatkan penghantaran makanan, air, bekalan keperluan dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat, menurut Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper.
Biden juga melawat kawasan yang terjejas pada Rabu bagi meninjau kerosakan yang berlaku dan beliau dijadual melawat Florida dan Georgia pada Khamis.
Dalam kenyataan akhbar oleh Rumah Putih, Biden akan terus meninjau kerosakan akibat Taufan Helene dan bertemu dengan pemimpin negeri serta tempatan untuk membincangkan usaha tindak balas yang sedang dijalankan.
"Presiden dan seluruh pentadbirannya akan terus melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu rakyat Florida, Georgia, dan setiap komuniti yang terjejas akibat ribut ini," menurut kenyataan dari Rumah Putih. - BERNAMA
#Taufan Helene #korban taufan #Florida Amerika Syarikat #Joe Biden
;