Angka korban tanah runtuh di selatan India hampir 100 mangsa, ramai hilang

Bernama
Julai 30, 2024 23:21 MYT
Angka kematian akibat tanah runtuh di Kerala, India, pada Selasa telah meningkat hampir 100 orang apabila lebih banyak mayat ditemukan. - Foto AP
NEW DELHI: Angka kematian akibat tanah runtuh di Kerala, India, pada Selasa telah meningkat hampir 100 orang apabila lebih banyak mayat ditemukan.
Daerah bukit yang indah, Wayanad, berubah menjadi kawasan bencana apabila tanah runtuh dan banjir memusnahkan kampung, jalan raya dan jambatan.
Kampung Mundakkai, Chooralmala, Attamala dan Noolpuzha adalah antara kawasan yang terjejas oleh tanah runtuh, lapor media tempatan.
Sehingga kini, 93 mayat telah ditemukan dan 128 orang cedera, kata Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan pada sidang media.
Enam belas mayat dan bahagian badan ditemukan di Sungai Chaliyar.
Kerajaan negeri Kerala mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari.
"Hujan lebat yang sangat luar biasa. Seluruh kawasan telah musnah.
"Kami telah mengatur rawatan terbaik untuk mangsa yang cedera. Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan. Kami telah membuka 45 kem bantuan di Wayanad dan keseluruhan 118 kem di seluruh negeri, menempatkan 5,531 orang," kata Vijayan dalam satu laporan media tempatan.
Beberapa daerah di negeri selatan itu mengumumkan sekatan ke atas perjalanan dan pelancongan di tengah-tengah ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
Usaha menyelamat diteruskan dengan bantuan tentera India dan kakitangan agensi bencana.
Anjing terlatih dari unit anjing elit tentera, termasuk Belgian Malinois, Labradors dan German Shepherds, dikerahkan ke lokasi bencana atas permintaan ketua menteri.
"Anjing-anjing ini adalah pakar dalam menyelamatkan orang dari kawasan yang dilanda bencana dan pasukan anjing akan tiba di Wayanad tidak lama lagi," kata jurucakap Kementerian Pertahanan.
Negeri jiran Tamil Nadu dan Karnataka juga menawarkan bantuan kepada Kerala dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan.
Kerajaan persekutuan telah memberi jaminan kepada Kerala mengenai "semua bantuan yang mungkin" berikutan bencana itu.
-- BERNAMA
#angka korban #tanah runtuh #selatan India #Kerala #Wayanad
;