Angka korban susulan letupan di lapangan terbang Kabul meningkat kepada 90
Astro Awani
Ogos 26, 2021 06:44 MYT
Ogos 26, 2021 06:44 MYT
KABUL: Sekurang-kurangnya 90 dilaporkan terbunuh dalam satu serangan bunuh diri di Lapangan Terbang Kabul pada Khamis.
Antara yang terbunuh adalah 13 anggota tentera Amerika Syarikat dan laporan menyatakan militan Daish adalah dalang serangan.
Lebih 150 orang lagi dilaporkan cedera, ketika ribuan rakyat Afghanistan berpusu-pusu berkumpul di lapangan terbang itu untuk mendapat perlindungan di luar negara.
Kejadian itu berlaku berbaki empat hari sahaja lagi sebelum tarikh pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan pada 31 Ogos depan.
Ketika ini, banyak negara sedang mempercepatkan usaha pemindahan keluar rakyat mereka serta warga Afghanistan yang mahu mendapat perlindungan di luar negara.
White House memaklumkan sudah memberikan maklumat awal mengenai insiden itu kepada Presiden Joe Biden.
Pesawat-pesawat kargo tentera sebelum ini dilihat memenuhi ruangan Lapangan Terbang Kabul pada Khamis bagi membawa keluar ribuan penduduk di negara itu.
Britain sebelum ini meramalkan akan berlaku serangan, manakala Belgium turut menjangkakan terdapat ancaman pengeboman bunuh diri.