Angka korban rakyat Palestin di Gaza hampiri 34,600 orang

Bernama
Mei 2, 2024 22:31 MYT
Menurut PBB, lebih enam bulan selepas konflik Israel-Hamas, 85 peratus penduduk di Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. - Gambar Reuters/Mohammed Salem
ANKARA: Angka kematian warga Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas telah meningkat kepada 34,596 orang, kata Kementerian Kesihatan di wilayah itu pada Khamis.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata seramai 77,816 penduduk telah cedera dalam serangan tentera rejim.
"Sekurang-kurangnya 28 rakyat Palestin terbunuh dan 51 lagi cedera dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam lepas.
"Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana penyelamat tidak dapat pergi kepada mereka," kata kenyataan itu, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lebih enam bulan selepas konflik Israel-Hamas, 85 peratus penduduk di Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel didakwa melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang pada Januari mengeluarkan perintah sementara supaya Tel Aviv menghentikan genosid dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan disediakan untuk orang awam di Gaza.
-- BERNAMA
#angka korban #kekurangan makanan #PBB #orang awam
;