Angka korban letupan lori tangki petrol di Nigeria meningkat kepada 181

Bernama
Oktober 23, 2024 16:51 MYT
Kerajaan negeri telah membayar bil perubatan untuk semua mangsa dan sedang berusaha memastikan keluarga yang terjejas meneruskan kehidupan mereka. - AP
ABUJA: Angka korban akibat letupan lori tangki petrol di negeri Jigawa, utara Nigeria minggu lalu kini melebihi 181 orang, kata Gabenor negeri itu, Umar Namadi pada Selasa, lapor Xinhua.
Namadi memberitahu pemberita, sekurang-kurangnya 80 orang lagi dimasukkan ke hospital selepas lori tangki petrol hilang kawalan dan terbalik di Majiya, sebuah bandar di kawasan seliaan kerajaan tempatan Taura, pada malam 15 Okt.
Beliau berkata 210 keluarga terjejas akibat letupan itu, dan kebanyakan mangsa merupakan orang yang bergegas ke tempat kejadian untuk mengaut petrol yang tumpah ke dalam parit selepas lori tangki itu terbalik.
Beliau menyatakan kerajaan negeri telah membayar bil perubatan untuk semua mangsa dan sedang berusaha memastikan keluarga yang terjejas "meneruskan kehidupan mereka."
Upacara pengebumian beramai-ramai mangsa diadakan pada 16 Okt di Majiya.
-- BERNAMA
#Nigeria #mangsa korban #letupan #lori petrol
;