Angka korban letupan lombong arang batu di Iran meningkat 38 orang

Bernama
September 23, 2024 21:12 MYT
Letupan di sebuah lombong arang batu di Khorasan Selatan telah meragut sekurang-kurangnya 38 nyawa. - Foto REUTERS
BIRJAND (Iran): Letupan di sebuah lombong arang batu di Khorasan Selatan telah meragut sekurang-kurangnya 38 nyawa, menurut gabenor jeneral wilayah itu Javad Ghenaat, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Ghenaat pada Isnin memberitahu pemberita bahawa 14 pelombong terperangkap di blok C lombong itu yang terletak di bandar Tabas, susulan kejadian pada lewat Sabtu.
Menurut beliau, di blok B, 47 pekerja terperangkap dengan 30 daripadanya meninggal dunia manakala 17 lagi cedera.
Daripada jumlah mangsa yang cedera, 10 pelombong masih dirawat di hospital sementara selebihnya telah dibenarkan keluar.
Ketua pengarah jabatan pengurusan krisis wilayah Mohammad-Ali Akhondi pada Ahad berkata insiden itu berpunca daripada letupan gas metana di dua blok lombong berkenaan.
Beberapa negara dan pemimpin telah menyampaikan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa serta rakyat dan kerajaan Iran.
Presiden Masoud Pezeshkian telah mengarahkan siasatan berhubung kejadian itu, menurut ketua Majlis Penerangan pentadbirannya.
-- BERNAMA
#letupan #lombong arang batu #Iran #angka korban #Khorasan
;