Angka korban kultus kebuluran di Kenya meningkat kepada 150

Bernama
Mei 12, 2023 19:47 MYT
Onyancha berkata 594 individu yang disyaki ahli kultus berkenaan dilaporkan hilang oleh keluarga mereka manakala 25 tangkapan dibuat. -Reuters
NAIROBI: Angka kematian di Kenya dipercayai akibat kultus kebuluran meningkat kepada 150 pada Khamis apabila lebih banyak mayat ditemukan, kata polis, lapor Agensi Anadolu.
Lima lagi mayat ditemukan di Hutan Shakahola di Kilifi County, mempergiatkan siasatan berterusan terhadap kultus kebuluran yang diketuai oleh paderi Paul Mackenzie.
Pesuruhjaya Wilayah Coast Rhoda Onyancha mengeluarkan laporan kepada media pada Khamis mendedahkan penemuan itu.
Onyancha berkata 594 individu yang disyaki ahli kultus berkenaan dilaporkan hilang oleh keluarga mereka manakala 25 tangkapan dibuat.
Sampel DNA dikumpulkan daripada 93 keluarga ketika pencarian dan penggalian diteruskan di Hutan Shakahola.
Aktiviti penggalian dihentikan kerana cuaca buruk tetapi disambung semula selepas beberapa hari.
Siasatan polis bermula pertengahan April setakat ini mendedahkan beberapa mangsa kehilangan organ mereka, mendorong dakwaan berlakunya pemerdagangan organ manusia.
Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki menyifatkan kematian kultus Shakahola sebagai jenayah terancang, mengatakan kubur besar itu terlalu banyak.
-- BERNAMA
#Kenya #kultus kebuluran #Hutan Shakahola #Kilifi County
;