Angka korban kapal karam di Itali meningkat kepada 59 termasuk 12 kanak-kanak
Astro Awani
Februari 27, 2023 08:30 MYT
Februari 27, 2023 08:30 MYT
ROM: Sekurang-kurangnya 59 maut termasuk 12 kanak-kanak dalam tragedi kapal karam yang berlaku pantai selatan Itali pada Ahad.
Kapal yang dinaiki pelarian itu dilaporkan pecah akibat dibadai laut bergelora dalam usaha mereka merentasi pesisir selatan pantai negara itu.
Kapal yang membawa migran dari Afghanistan, Iran dan beberapa negara lain tersebut tenggelam akibat laut bergelora berhampiran Steccato di Cutro, sebuah pusat peranginan tepi laut di pantai timur Calabria.
Insiden tersebut mencetuskan kembali perdebatan mengenai penerimaan migran di Eropah dan Itali, di mana undang-undang baharu yang ketat kerajaan sayap kanan yang baru dilantik untuk Badan Amal Penyelamat Migran telah mendapat kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain.
Setakat ini difahamkan 81 mangsa dilaporkan selamat dengan 20 daripada mereka dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Menteri Dalam Negeri yang turun ke lokasi kejadian, anggaran antara 20 hingga 30 mangsa masih hilang.
Usaha mencari dan menyelamat diteruskan dengan menggunakan anjing pengesan.