Angka korban gempa bumi Taiwan meningkat kepada 14 orang

Astro Awani
Februari 6, 2016 22:37 MYT
Menurut seorang pegawai kanan tentera, kira-kira 20 mangsa masih terperangkap dalam runtuhan bangunan tersebut. - Foto AFP / Sam Yeh
Angka kematian kejadian gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang menggegarkan selatan Taiwan pada Sabtu, kini telah meningkat kepada 14 orang, lapor agensi berita AFP.
Menurut sumber Agensi Kebakaran Kebangsaan, antara mangsa yang terkorban akibat terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk seorang bayi berusia 10 hari, dua kanak-kanak, dan tiga rakyat Indonesia.
Manakala, dua lagi mangsa terbunuh di kawasan lain di bandar Tainan akibat ditimpa serpihan.
Kira-kira 800 anggota telah dikerahkan bagi tujuan mencari dan menyelamat.
Menurut seorang pegawai kanan tentera pula, kira-kira 20 mangsa masih terperangkap dalam runtuhan bangunan tersebut.
Laporan menyatakan terdapat lebih 100 orang terperangkap dalam runtuhan bangunan dalam bencana tersebut yang berlaku pada awal pagi ini.
BACA: Lebih 100 terperangkap dalam insiden bangunan runtuh susulan gempa bumi di Taiwan
BACA: Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden gempa bumi Taiwan setakat ini - Wisma Putra
BACA: Tiga rakyat Indonesia terkorban dalam gempa bumi Taiwan
Rakaman video menerusi televisyen tempatan dan media sosial menunjukkan sebuah bangunan runtuh menyembah bumi manakala sebuah lagi senget akibat gempa berkenaan.
Stesen penyiaran Formosa melaporkan 150 orang terperangkap dalam bangunan setinggi 16 tingkat itu dengan kedengaran suara orang meminta tolong.
69 orang berjaya diselamatkan tetapi tidak dapat mengesahkan bagaimana mereka boleh terperangkap di dalam.
Menurut Wisma Putra, tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu setakat ini.
#gempa bumi #runtuhan #Tainan #Taiwan
;