Angka korban gempa bumi Aceh meningkat kepada 97 mangsa
Agensi
Disember 7, 2016 18:11 MYT
Disember 7, 2016 18:11 MYT
Angka korban susulan gempa bumi 6.4 magnitud yang melanda Aceh, Indonesia pagi ini telah meningkat sekali ganda kepada 97 orang, kata jurucakap tentera dengan lebih ramai mangsa dibawa keluar dari kesan runtuhan.
Angka korban dijangka terus meningkat dengan anggota pencari meneruskan usaha menyelamat di kawasan kediaman, masjid dan deretan kedai yang musnah akibat gempa itu.
Angka awal jumlah korban adalah 52 mangsa namun ia meningkat sekali ganda, menurut tentera.
“Sehingga kini 97 orang telah terbunuh dan angka korban akan meningkat, adakalanya kami temui lima mayat, adakalanya 10 mangsa serentak,” kata Ketua Tentera Wilayah Aceh Tatang Sulaiman kepada agensi berita AFP.
Dianggarkan lebih 1,000 anggota tentera dan 900 anggota polis telah dikerah ke kawasan bencana bagi usaha menyelamat selain mendirikan khemah dan pusat pemindahan.
Menurut pegawai kerajaan, ratusan rumah dan kedai musnah teruk, menyebabkan ramai yang kehilangan tempat tinggal dan memerlukan makanan dan minuman.
“Sumber elektrik masih tiada. Banyak tempat menggunakan generator, namun jumlahnya juga tidak banyak,” kata ketua agensi bencana tempatan, Puteh Manaf.
“Dibimbangkan sekiranya hujan, ia akan menyebabkan wabak merebak,” katanya lagi.
Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud melanda di Pidie Jaya, Aceh awal pagi ini sekitar jam 5.03 pagi waktu tempatan, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).