Angka korban di Gaza meningkat kepada 41,431, lebih 95,818 cedera

Bernama
September 22, 2024 20:59 MYT
Perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat mencapai banyak mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan. - Reuters
GAZA: Pasukan pendudukan Israel melakukan empat pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas, mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin dan 58 lagi cedera, menurut laporan perubatan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa angka kematian Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Okt meningkat kepada 41,431 kematian yang dilaporkan, dengan tambahan 95,818 individu mengalami kecederaan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Menurut sumber yang sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat mencapai banyak mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan-jalan di kawasan konflik, kerana pasukan penjajah Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan pasukan pertahanan awam.
-- BERNAMA
#angka korban #Gaza #Palestin #cedera #serangan Israel
;