Menurut Agensi Anadolu, kementerian itu menyatakan kira-kira 108,856 orang telah cedera dalam serangan berterusan berkenaan.
"Tentera Israel membunuh 59 orang dan mencederakan 273 yang lain dalam empat serangan besar-besaran ke atas keluarga dalam tempoh 24 jam lepas," menurut kenyataan kementerian itu.
"Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan, dengan pasukan penyelamat tidak dapat mendekati mereka," katanya.
Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Oktober 2023.
Tahun kedua serangan genosid di Gaza ini telah mendapat kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pegawai dan institusi mengecam tindakan serangan serta sekatan bantuan sebagai percubaan sengaja untuk memusnahkan populasi.
Pada 21 November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas serangan tenteranya di Gaza.
-- BERNAMA