Angka korban akibat ribut di selatan Argentina meningkat kepada 15
Bernama
Mac 10, 2025 11:10 MYT
Mac 10, 2025 11:10 MYT
Penduduk menggunakan kayak sebagai alat pengangkutan susulan air banjir menenggelamkan jalan-jalan di bandar pelabuhan Bahia Blanca, di wilayah Buenos Aires, Argentina, 9 Mac 2025. REUTERS
BUENOS AIRES: Angka korban akibat ribut kencang yang melanda bandar pelabuhan Bahia Blanca di selatan Argentina pada Jumaat meningkat kepada 15 orang, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.
Datuk Bandar Bahia Blanca, Federico Susbielles berkata jumlah kematian dijangka meningkat.
Sekurang-kurangnya 1,450 penduduk telah dipindahkan, manakala 100 lagi dilaporkan hilang, menurut kemas kini pihak berkuasa perbandaran Bahia Blanca.
Kerajaan Argentina melancarkan operasi bantuan dan pemindahan melibatkan kementerian pertahanan dan keselamatan serta kerajaan wilayah Buenos Aires.
Ribut yang melanda pada Jumaat lalu merupakan ribut terburuk dalam sejarah bandar itu, sekali gus memecah rekod taburan hujan yang dicatatkan sejak Mac 1933, menurut data rasmi.
-- BERNAMA