Angka korban akibat banjir di Valencia meningkat kepada 95 orang
Astro Awani
Oktober 31, 2024 08:50 MYT
Oktober 31, 2024 08:50 MYT
VALENCIA: Banjir yang melanda Valencia, Sepanyol dilaporkan terus memburuk apabila ramai yang terkorban dan dilaporkan hilang selepas hujan lebat melanda wilayah itu sejak Selasa.
Keadaan itu memperlihatkan seorang wanita menerusi sebuah rakaman video, berjalan di sepanjang jalan yang berlumpur sambil memanggil nama orang tersayang.
Selain wanita tersebut, rakaman itu juga menunjukkan sebilangan kereta dihanyutkan bersama timbunan serpihan akibat banjir.
Setakat Rabu waktu tempatan, jumlah korban akibat banjir di Valencia meningkat kepada 95 orang selepas hujan lebat melanda bahagian timur wilayah itu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, jambatan dan bangunan dihanyutkan manakala sebilangan kediaman dan kereta ditenggelami air.
Laporan antarabangsa melaporkan, ia merupakan banjir paling dahsyat di negara itu dalam tempoh tiga dekad.
Keadaan itu menyebabkan kemalangan di lebuh raya dan menenggelamkan kawasan pertanian di wilayah yang menghasilkan dua pertiga buah sitrus.
Untuk rekod, Sepanyol merupakan salah satu pengeksport global utama buah itu.
Ribut yang bermula sejak Selasa itu membawa hujan lebat yang menyamai taburan hujan setahun dalam beberapa jam, menyebabkan air sungai melimpah dengan cepat dan malah berlaku kejadian puting beliung.
Penduduk yang terdesak menggunakan media sosial untuk meminta bantuan selepas talian kecemasan tempatan terhenti akibat bangunan yang ditenggelami air dan jumlah panggilan yang tinggi.
Kerajaan Valencia turut membuka talian telefon khusus untuk melaporkan orang hilang.
Penduduk masih digesa untuk mengelakkan sebarang perjalanan lebuh raya, dan kebanyakan sekolah di wilayah autonomi itu kekal ditutup.
Sementara itu, sistem ribut terus bergerak melintasi semenanjung Iberia, dengan kebanyakan kawasan di timur laut dan barat daya Sepanyol diletakkan dalam amaran cuaca hujan lebat.