Angka kematian hujan monsun, banjir di Pakistan meningkat kepada lebih 200 orang

Bernama
Ogos 19, 2024 07:45 MYT
Penduduk kampung terpaksa meredah air banjir di kawasan rumah mereka akibat hujan lebat yang melanda Pakistan. - Foto AP
ISLAMABAD: Lebih 200 orang maut berikutan hujan lebat dan banjir di Pakistan sejak permulaan musim monsun dari Julai, kata pegawai pada Isnin, ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengalirkan keluar air dari bandar-bandar yang dinaiki air , lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan mangsa banjir dari bandar selatan Sukkur dan Larkana ke kawasan kering apabila banjir besar melanda beberapa kejiranan selepas hujan terhebat dalam tujuh dekad, kata pegawai tempatan Sheikh Uzair.
Pihak berkuasa berada dalam keadaan amat berjaga-jaga untuk mengurangkan paras air dari bandar raya selatan Karachi yang mempunyai populasi lebih 20 juta orang, di tengah-tengah ramalan hujan lebat dalam tempoh 24 jam akan datang, kata Menteri Penerangan Wilayah, Sharjeel Memon.
Kira-kira separuh daripada 215 kematian adalah kanak-kanak, manakala lebih 400 orang cedera, menurut agensi pengurusan bencana negara.
Sebilangan besar kematian direkodkan di wilayah tengah Punjab diikuti oleh wilayah barat laut Khyber-Pakhtunkhwa, menurut agensi itu dalam kemas kini terkini.
Hujan lebat dijangka berterusan di seluruh negara sehingga 25 Ogos, kata Ketua Ahli Meteorologi, Sardar Sarfraz kepada dpa.
- BERNAMA
#Banjir pakistan #hujan monsun #lebih 200 maut #wilayah tengah Punjab
;