Angka kematian gempa bumi di Sumatera Barat meningkat

Bernama
Februari 26, 2022 04:00 MYT
Lebih 6,002 penduduk dipindahkan ke 35 pusat pemindahan sementara akibat gempa berkenaan. - Gambar/ Twitter/@rikihitachi31
JAKARTA: Lembaga Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia memaklumkan angka kematian akibat gempa bumi meningkat kepada lapan orang, dengan enam mangsa masih hilang.
Pasukan penyelamat berjaya menemukan lima mayat di daerah Pasaman dan tiga di daerah Pasaman Barat selepas gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda kawasan berkenaan.
Jurucakap agensi itu Abdul Muhari berkata 86 orang cedera manakala 10 bangunan dan 435 rumah rosak.
Lebih 6,002 penduduk dipindahkan ke 35 pusat pemindahan sementara, katanya dalam satu kenyataan, Sabtu malam.
Pasukan penyelamat masih mencari enam lagi mangsa yang dilaporkan hilang, dipercayai tertimbus di bawah lumpur.
Kerajaan mengumumkan respons kecemasan rasmi selama 14 hari di timur laut Pasaman Barat, wilayah Sumatera Barat, berakhir 10 Mac.
Gempa yang berlaku pada 8.39 pagi waktu tempatan, Jumaat melanda pulau Sumatera dan gegaran turut dirasai di bandar berdekatan Pekanbaru, Wilayah Riau dan negara jiran, termasuk Malaysia dan Singapura.
-- BERNAMA
#Indonesia #Sumatera Barat #gempa bumi #jumlah korban
;