Angka kematian gempa bumi Afghanistan meningkat lebih 2,000 orang

Bernama
Oktober 8, 2023 17:21 MYT
Sekurang-kurangnya lapan gempa bumi menggegarkan wilayah sempadan berhampiran Iran itu dalam tempoh yang singkat pada pagi Sabtu.- Gambar fail/Twitter@JShadab1
ISLAMABAD: Lebih 2,000 orang maut selepas beberapa gempa bumi kuat menggegarkan barat Afghanistan pada Sabtu, kata jurucakap kerajaan Taliban kepada Agensi Berita Jerman (dpa) pada Ahad.
"Jumlah penduduk yang cedera sangat tinggi," kata seorang pegawai di Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Abdul Wahid Rayan.
Sementara itu, pencarian mangsa yang terselamat diteruskan. Agensi kecemasan PBB OCHA yang pada awalnya meletakkan angka kematian lebih daripada 100 orang pada Sabtu berkata ia menjangkakan jumlah kematian akan meningkat apabila berpuluh-puluh orang masih terperangkap di bawah bangunan runtuh.
Beberapa kampung di wilayah Herat yang teruk terjejas telah musnah sepenuhnya, kata pihak berkuasa. Menurut WHO, kira-kira 4,200 orang terjejas dan sekurang-kurangnya 600 rumah musnah.
Hospital terbesar di ibu negeri di wilayah Herat sahaja telah menerima hampir 200 penduduk yang maut manakala kira-kira 700 lagi cedera, menurut sumber perubatan.
Sekurang-kurangnya lapan gempa bumi menggegarkan wilayah sempadan berhampiran Iran itu dalam tempoh yang singkat pada pagi Sabtu.
Kajian Geologi Amerika Syarikat yang memantau aktiviti seismik meletakkan magnitud gempa pada nilai antara 4.6 dan 6.3.
Gegaran itu berlaku di barat laut bandar sempadan Herat pada kedalaman cetek sekitar 10 kilometer dan turut dirasai negara jiran, Iran.
--BERNAMA-dpa
#Afghanistan #gempa bumi #kemalangan jiwa #maut
;