Angka kematian di Semenanjung Gaza meningkat kepada 43,846, cedera 103,740

Bernama
November 17, 2024 22:13 MYT
Pasukan pendudukan Israel melakukan enam pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas. - AP
GAZA: Pasukan pendudukan Israel melakukan enam pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas, mengakibatkan sekurang-kurangnya 47 rakyat Palestin terbunuh dan 139 yang lain cedera, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA) memetik laporan perubatan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 43,846 kematian berdaftar, dengan tambahan 103,740 individu mengalami kecederaan. Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Menurut sumber yang sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat menjangkau ramai mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan di seluruh kawasan konflik itu kerana pasukan pendudukan Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan kru pertahanan awam.
Serangan pembunuhan beramai-ramai Israel berterusan tanpa henti walaupun terdapat gesaan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk gencatan senjata segera dan arahan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menggesa langkah-langkah untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai dan meredakan situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.
-- BERNAMA
#angka korban #Semenanjung Gaza #Palestin #PBB #Israel
;