Angka kematian di seluruh Semenanjung Gaza meningkat kepada 40,005, lebih 92,401 cedera

Bernama
Ogos 15, 2024 16:17 MYT
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 40,005 orang. - AP
GAZA: Pasukan tentera Israel melakukan tiga pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga-keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh dan 107 lagi cedera, menurut sumber perubatan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 40,005 orang, dengan 92,401 individu lagi mengalami kecederaan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Menurut sumber yang sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat membantu ramai mangsa dan membawa keluar mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau yang berselerakan di jalan-jalan di seluruh kawasan bergolak itu, kerana tentera Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan pasukan pertahanan awam.
-- BERNAMA
#angka kematian #Gaza #Palestin #tentera Israel #Pembunuhan #keganasan