Angka kematian di Gaza hampiri 41,600 orang dengan 52 lagi rakyat Palestin terkorban

Bernama
September 28, 2024 20:15 MYT
Lima puluh dua lagi rakyat Palestin maut dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 41,586 orang sejak 7 Okt lepas. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Lima puluh dua lagi rakyat Palestin maut dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 41,586 orang sejak 7 Okt lepas, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu pada Sabtu.
Kenyataan kementerian itu turut menyatakan seramai 96,210 orang lagi telah cedera dalam serangan berkenaan, lapor Agensi Anadolu.
"Pasukan Israel membunuh 52 orang dan mencederakan 118 lagi dalam empat pembunuhan beramai-beramai terhadap keluarga dalam tempoh 48 jam lepas," katanya.
"Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka," katanya lagi.
Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan resolusi bagi gencatan senjata segera.
Sekatan berterusan di Gaza telah menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang serius, selain serangan tentera Israel mengakibatkan kebanyakan kawasan itu tinggal dalam bentuk runtuhan.
Israel berdepan tuduhan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang telah mengarahkan penghentian operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, di mana lebih satu juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan sebelum kawasan itu diceroboh pada 6 Mei.
-- BERNAMA
#Gaza #angka kematian #rakyat Palestin #Israel
;