Angka kematian bencana tanah runtuh Filipina mencecah 60 orang
Agensi
April 13, 2022 13:47 MYT
April 13, 2022 13:47 MYT
BAYBAY: Angka kematian dari bencana tanah runtuh dan banjir di Filipina meningkat ke sekurang-kurangnya 58 orang pada Rabu, dengan anggota penyelamat terus mencari lebih banyak mangsa yang tertimbus dalam lumpur.
AFP melaporkan, malah kerja-kerja mencari mangsa tersebut dilakukan dengan tangan memandangkan keterbatasan peralatan dan jentera pihak penyelamat.
Kebanyakan kematian itu adalah rentetan daripada Taufan Megi yang melanda. Taufan berkenaan adalah yang terkuat membadai negara kepulauan itu setakat ini.
Ketika bencana itu membadai wilayah tengah Filipina iaitu di Leyte, beberapa kejadian tanah runtuh telah menjejaskan penduduk.
Sekurang-kurangnya 47 orang maut dan 27 lagi hilang selepas gelombang lumpur menghentam kawasan petempatan petani hujung minggu lalu. Lebih 100 orang turut dilaporkan cedera.
Tiga orang disahkan terkorban di wilayah Negros Oriental dan tiga lagi di Pulau Mindanao, menurut agensi bencana kebangsaan.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat di perkampungan Pilar diteruskan seawal pagi, dengan bot-bot membawa anggota penyelamat memasuki kawasan petempatan pesisiran pantai. Di situ, kira-kira 400 penduduk terjejas akibat pergerakan tanah runtuh dan aliran lumpur, hingga menolak kediaman mereka ke laut.
Sekurang-kurangnya lima orang terkorban di Pilar, kata polis.