Angka kematian akibat siklon tropika Freddy meningkat kepada 10

Bernama
Mac 9, 2023 11:00 MYT
Bumbung sekolah yang musnah tercabut ketika siklon Freddy melanda terdampar di sebuah taman permainan di Vilanculos, Mozambique, 24 Feb 2023. - Gambar fail AP
ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh manakala tiga lagi masih hilang selepas Siklon Tropika Freddy kembali membadai pantai barat daya Madagascar, menurut Pejabat Kebangsaan Pengurusan Risiko dan Bencana Kebangsaan (BNGRC) pada Rabu.
Secara keseluruhan 17 orang disahkan terkorban di Madagascar sejak Freddy mula melanda pulau itu pada Februari sebelum bergerak ke pantai Mozambique, lapor Xinhua.
Siklon itu kemudiannya kembali membadai pantai Malagasi hujung minggu lalu, dengan 72,351 orang di lima wilayah dilaporkan terjejas.
Seramai 24,358 penduduk hilang tempat tinggal, manakala 16,367 daripadanya telah ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara.
Selain itu, kira-kira 6,000 kediaman dinaiki air manakala 5,500 lagi musnah.
Siklon Tropika Freddy dijangka bergerak meninggalkan pantai barat Madagascar dan kembali melanda Mozambique menjelang akhir minggu ini.
-- BERNAMA
#Siklon Tropika Freddy #pantai Malagasi #Mozambique #Madagascar
;