WILAYAH selatan dan barat tengah di Amerika Syarikat (AS) dilanda ribut ganas dan puting beliung pada hujung minggu mengakibatkan korban nyawa dan kemusnahan teruk.

Setakat ini 29 individu dilaporkan maut dan jumlah itu dijangka meningkat.

Menurut Jabatan Polis Memphis, dua kanak-kanak dan seorang dewasa ditemui maut selepas ribut ganas menimpa beberapa rumah.

Manakala di McNairy County Tennessee, media melaporkan dua disahkan maut setelah tujuh orang dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.

15 lagi kematian akibat ribut ganas, yang menjana puting beliung di beberapa kawasan sebelum ini dilaporkan di Arkansas, Illinois, Indiana, Delaware, Mississippi dan Alabama.

Puluhan orang cedera dan banyak bangunan rosak dan musnah.

Presiden Joe Biden mengisytiharkan "bencana besar" di Arkansas pada hari Ahad, mengarahkan bantuan persekutuan untuk membantu pemulihan.

Dalam kenyataannya, Biden mengarahkan pegawai persekutuan yang berkaitan untuk membantu memberi keperluan segera.

Sebelum itu, Pusat Ramalan Ribut Kebangsaan memberi amaran tentang cuaca buruk pada hari Ahad di bahagian Texas utara dan timur laut di sekitar Dallas dan Fort Worth, termasuk hujan batu dan tiupan angin yang ketara hingga menyebabkan puting beliung.

Cuaca buruk yang sama, termasuk ribut petir, diramalkan pada hari Selasa di Midwest antara Chicago dan Little Rock, Arkansas.