Angka kematian akibat kultus di Kenya meningkat kepada 403 orang
Bernama
Julai 18, 2023 21:04 MYT
Julai 18, 2023 21:04 MYT
MOSCOW: Angka kematian berpunca daripada kebuluran akibat kultus di Kenya mencecah 403 orang selepas 12 lagi mayat ditemukan di Kilifi County di tenggara negara itu, lapor Sputnik memetik media tempatan pada Isnin.
Pesuruhjaya Wilayah Pantai Rhoda Onyancha berkata tiada tangkapan baharu setakat ini dan jumlah keseluruhan orang yang ditahan kekal 37 orang, termasuk ketua kultus Paul Mackenzie, lapor penyiar Citizen.
Pada April, media tempatan melaporkan empat orang mati kelaparan selepas terpengaruh dengan ceramah Mackenzie bahawa mereka akan "bertemu Jesus" dengan cara itu. Sejumlah 11 lagi pengikut kultus itu dimasukkan ke hospital.
Mackenzie kemudiannya ditahan dan pada Mei lepas, pejabat pendakwa Kenya berkata dia akan didakwa atas keganasan.
Kultus bermaksud kelompok manusia yang menganuti dan mengamalkan satu sistem kepercayaan ritual berkaitan dengan pemujaan kuasa ghaib, roh dan sebagainya.
-- BERNAMA