Angka kematian akibat hujan lebat, banjir di Sudan meningkat kepada 79 orang
Bernama
Ogos 21, 2022 13:33 MYT
Ogos 21, 2022 13:33 MYT
KHARTOUM: Angka kematian akibat hujan lebat dan banjir yang melanda Sudan baru-baru ini meningkat kepada 79 orang, umum Majlis Kebangsaan Pertahanan Awam negara itu pada Sabtu.
Seramai 30 orang cedera dan berpuluh-puluh ribu rumah rosak, terutamanya di negeri Gezira di tengah Sudan, lapor Xinhua memetik kenyataan majlis itu.
Majlis turut mengadakan mesyuarat tergempar bagi memastikan segala keperluan dan peruntukan dapat diagihkan dengan secepat mungkin ke negeri yang paling terjejas, termasuk Sungai Nil, Gezira, Kassala dan Sinnar.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Meteorologi Sudan mengeluarkan amaran hujan lebat di kebanyakan negeri di seluruh negara dalam beberapa bulan akan datang serta menggesa rakyat mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah banjir.
Tentera turut membantu usaha mencari dan menyelamat serta memindahkan penduduk yang terjejas di kawasan Al-Manaqil di Gezira dengan bantuan helikopter dan bot.
Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hampir 136,000 rakyat Sudan terjejas akibat banjir dan hujan lebat di negara itu sejak Jun lalu.
Sudan sering mengalami banjir dari Jun hingga Oktober berikutan musim tengkujuh.
-- BERNAMA