Angka kematian akibat banjir kilat di India meningkat kepada 42 orang

Astro Awani
Oktober 6, 2023 07:15 MYT
Salah satu kawasan di Sikkim, India yang ditenggelami air banjir. - Foto REUTERS
NEW DELHI: Angka kematian akibat banjir kilat yang melanda timur laut India meningkat kepada 42 orang pada Jumaat dan pencarian untuk hampir 150 orang yang hilang masih diteruskan.
Arus ganas melanda negeri terpencil Sikkim sejak Khamis selepas tasik glasier altitud tinggi pecah secara tiba-tiba berhampiran sempadan India dengan Nepal dan China.
Para saintis iklim memberi amaran bahawa bencana serupa mengancam seluruh Himalaya apabila suhu global meningkat dan ais mencair.
Pasukan mencari dan menyelamat hiliran menemui lebih banyak mayat ketika perairan membelah kawasan luar bandar ke arah Teluk Bengal.
Seorang penjawat awam, VB Pathak berkata, sebanyak 19 mayat ditemui di negeri Sikkim.
Majistret Bengal Barat, Shama Parveen pula berkata, sebanyak 21 mayat ditemui di negeri itu sejak tiga hari lalu.
Menurut buletin kerajaan negeri, hampir 8,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke kem bantuan sementara yang didirikan di sekolah, pejabat kerajaan dan rumah tumpangan.
Jelas kenyataan dalam buletin itu, terdapat kemungkinan dan peluang untuk memindahkan pelancong yang terkandas dengan helikopter selepas keadaan cuaca bertambah baik nanti.
#banjir kilat #Sikkim #SAR #glasier
;