Anggota UNSC terus desak gencatan senjata di Gaza

Bernama
Januari 24, 2024 19:05 MYT
Gaza berdepan krisis kemanusiaan akibat operasi ketenteraan berterusan Israel yang mengakibatkan peningkatan jumlah kematian dan seruan untuk gencatan senjata segera. - Gambar/ AP
WASHINGTON: Negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terus mendesak gencatan senjata di Semenanjung Gaza semasa mesyuarat pada Selasa yang membahaskan situasi di Asia Barat, termasuk isu Palestin, lapor Agensi Berita Anadolu (AA).
Dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, mesyuarat itu melibatkan menteri luar kanan dan duta-duta dari 15 anggota UNSC, bersama wakil tetap dari negara lain dalam menyatakan pandangan mereka mengenai krisis yang semakin meruncing di Gaza.
Rantau itu berdepan krisis kemanusiaan akibat operasi ketenteraan berterusan Israel yang mengakibatkan peningkatan jumlah kematian dan seruan untuk gencatan senjata segera.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Jordan Ayman Safadi menekankan keperluan mendesak, dengan menyatakan "masa semakin suntuk" dan menggesa Majlis untuk menuntut gencatan senjata serta melaksanakan resolusi berkaitan bantuan kemanusiaan.
"Hentikan pembunuhan beramai-ramai ini. Mengguna pakai resolusi Majlis Keselamatan yang mengikat untuk menamatkan penderitaan ini adalah yang paling minimum yang boleh dilakukan sekarang. Penyelesaian separa tidak akan mencapai keamanan," kata Safadi.
Menarik perhatian impak Israel terhadap penyelesaian dua negara, Safadi berkata: " Pendudukan, keganasan dan peperangan tidak boleh terus menghantui rantau kami."
Mengulas perkara sama Timbalan Menteri Luar Arab Saudi, Waleed El Khereiji, menekankan keutamaan bagi mengurangkan penderitaan dan menamatkan konflik di Palestin. Beliau menyeru UNSC untuk memastikan gencatan senjata segera.
"Kami tidak akan menyia-nyiakan sebarang usaha untuk memulihkan keamanan di rantau ini dan kami menyeru Majlis Keselamatan untuk memastikan Israel menghentikan pencabulannya terhadap undang-undang antarabangsa.
"Kita mesti bersatu dalam gencatan senjata dan mengakui bahawa sikap Israel yang provokatif menghalang usaha untuk mencapai kestabilan di rantau ini, termasuk di Israel," kata El Khereiji.
Lana Zaki Nusseibeh, Wakil Tetap Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke PBB, menekankan skala penderitaan di Gaza, membandingkannya dengan zaman paling gelap dalam sejarah.
"Kita memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza. Majoriti besar masyarakat antarabangsa telah berulang kali menyeru perkara ini dan sudah tiba masanya untuk pandangan minoriti untuk berhenti menghalangnya," katanya kepada Majlis.
Menteri Luar dan Hal Ehwal Eropah Slovenia, Tanja Fajon turut menggesa gencatan senjata segera di Gaza.
"Mesej saya hari ini jelas - hanya gencatan senjata di Gaza dan rantau ini yang akan membawa perlindungan kepada orang awam," kata Fajon.
Beliau berkata gencatan senjata adalah "penting" untuk mencipta syarat-syarat perdamaian, membolehkan akauntabiliti dan pembinaan semula Gaza serta menghalang peningkatan ketegangan serantau selanjutnya.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi menuntut gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza, menyifatkannya sebagai "pencetus perubahan untuk segala-galanya".
"Paling penting, ia akan memberi ruang untuk menangani situasi kemanusiaan," kata Marsudi.
Wakil tetap China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun pula mengulangi bahawa gencatan senjata segera mesti dianggap sebagai keutamaan.
-- BERNAMA
#UNSC #Gaza #gencatan senjata #kekejaman israel
;