Anggota Taliban diberi amaran henti tabiat 'selfie'

Agensi
September 28, 2021 22:36 MYT
Tindakan itu didakwa akan mencemarkan status mereka. - Foto AP Newsroom
KABUL: Anggota Taliban telah diberi amaran agar menghentikan tabiat berswafoto dan bersuka ria, lapor The Wall Street Journal.
Menteri Pertahanan Afghanistan, Mullah Mohammad Yaqoob berkata, tindakan itu mencemar nama dan kedudukan mereka.
"Jalankan tugas yang telah ditetapkan. Anda merosakkan status yang telah dibina dengan darah para syuhada," kata Mullah seperti yang dilaporkan WSJ.
Mullah menegaskan tindakan mengambil gambar 'selfie' atau berswafoto boleh menjejaskan keselamatan pegawai Taliban kerana apabila ia dimuat naik media sosial, ia secara langsung memberikan lokasi dan kegiatan kepimpinan kumpulan itu.
Beliau juga mengkritik tindakan beberapa anggota kerana memasuki pejabat kerajaan tanpa urusan.
"Perbuatan itu sangat menjelikkan, semua orang mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil gambar di kementerian penting tanpa sebarang sebab," tambahnya.
WSJ melaporkan Mullah juga akan menghukum anggota Taliban yang memandu melebihi had kelajuan dan berpakaian seperti gaya orang barat.
"Sekiranya kita terus bertindak seperti ini tanpa kawalan, kita akan kehilangan sistem Islam kita, " katanya.
#Taliban #selfie #media sosial #Islam #Afghanistan
;