Anggota polis maut, tiga cedera bom kereta meletup di Pattani

Bernama
Julai 5, 2016 22:04 MYT
Seorang anggota polis terbunuh manakala tiga yang lain cedera apabila bom kereta meletup di markas kawalan di Koh Mo Kaeng, Nongchik, Pattani hari ini. - Foto BERNAMA
Seorang anggota polis terbunuh manakala tiga yang lain cedera apabila bom kereta meletup di markas kawalan di Koh Mo Kaeng, Nongchik di sini, hari ini.
Penolong Ketua Polis Nongchik, Lt.Pol. Anthi Koari berkata, kereta terbabit dipandu seorang suspek dan meninggalkan kenderaan tersebut berhampiran markas itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
"Kereta itu dilengkapi 100kg bahan letupan dan meletup kira-kira 30 saat selepas suspek melarikan diri," katanya kepada pemberita mengenai kejadian pukul 10.30 pagi waktu tempatan itu.
Markas itu terletak berhampiran Jalan Pattani-Hatyai.
Dalam kejadian berasingan di Yala semalam pula, seorang warga emas berusia 65 tahun maut manakala dua lagi cedera dalam serangan grenad berhampiran Masjid Jamek Banang Sata.
Ketua Polis Wilayah Yala, Mej. Jen. Ittipon Acharia-Pradit berkata, sasaran sebenar dalam kejadian 8 malam itu adalah Balai Polis Banang Sata tetapi tersasar dan mengenai masjid berkenaan.
Peluru grenad senapang tu katanya, terkena wayar elektrik dan dahan kayu sebelum meledak di kawasan di masjid itu.
#bom kereta #Koh Mo Kaeng #meletup #Nongchik #Pattani
;