Anggota polis maut dalam rusuhan di India, 3 suspek ditahan

Astro Awani
Disember 4, 2018 19:25 MYT
Kenderaan yang terbakar susulan kejadian rusuhan kelihatan ditinggalkan dekat sebuah balai polis di Chingarwathi, dekat Bulandshahr, di Uttar Pradesh, India, 4 Dis, 2018. (Foto AP)
Tiga orang termasuk pemimpin tempatan sebuah pertubuhan Hindu ditahan berhubung kes kematian seorang anggota polis dalam insiden rusuhan di Uttar Pradesh.
Memetik polis pada Selasa, Bernama melaporkan, Inspektor Subodh Kumar Singh maut selepas polis dan penunjuk perasaan bertempur akibat isu penyembelihan lembu di kawasan itu.
Penyembelihan lembu amat sensitif di India dan boleh menimbulkan rusuhan kaum.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kejadian pada Isnin itu terjadi di daerah Bulandshahr kira-kira 517 km barat laut Lucknow, ibu negara Uttar Pradesh.
Dalam insiden itu, perusuh menyerang kereta polis selain membakar sebuah balai dan beberapa kenderaan lain.
Seorang penunjuk perasaan berusia 18 tahun dilaporkan turut terbunuh.
"Setakat ini, tiga lelaki ditahan dan 24 lagi suspek masih diburu," seorang pegawai polis dipetik berkata.
Kes disiasat di bawah kesalahan melakukan rusuhan, cubaan membunuh dan memusnahkan harta benda di samping menyenaraikan 50 orang sebagai individu dikehendaki polis.
Selain itu, polis turut menempatkan ribuan anggota di lokasi kejadian dan menutup kedai serta sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.
#bakar #India #Inspektor Subodh Kumar Singh #maut #pemimpin #penyembelihan lembu #polis #rusuhan kaum #suspek
;