Anggota polis mati ditembak di kepala dalam tunjuk perasaan di Bangkok
Agensi
Februari 18, 2014 15:08 MYT
Februari 18, 2014 15:08 MYT
Seorang anggota polis Thailand ditembak mati ketika pasukan keselamatan bertempur dengan penunjuk perasaan penentang kerajaan dalam operasi untuk mengambil semula bangunan kerajaan yang diduduki oleh kumpulan itu pada Selasa.
Bunyi tembakan dan letupan menggegarkan kawasan berdekatan tarikan pelancong itu tidak lama selepas polis anti rusuhan bersenjatakan belantan, perisai dan topi keselamatan masuk untuk mengosongkan tapak tunjuk perasaan itu.
"Seorang anggota polis ditembak mati dan empat cedera," kata Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri kepada AFP.
Beliau menambah seorang daripada mangsa cedera parah terkena serpihan letupan.
Menurut sebuah hospital, sejumlah 44 orang cedera.
Kumpulan penunjuk perasaan itu sebelumnya menolak tuntutan polis untuk meninggalkan kawasan berdekatan pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dalam masa sejam, sejari selepas mereka membina tembok simen di depan pagar di kawasan itu.
"Kerajaan tidak boleh berpejabat di sini lagi," kata seorang jurucakap kumpulan anti kerajaan, Akanat Promphan.
"Tangkapan polis tidak memberi kesan kepada kami. Semangat rakyat masih kuat. Kerajaan sekarang terperangkap. Ia tidak boleh mara ke hadapan."
Lebih kurang 100 penunjuk perasaan ditahan di beberapa kawasan tunjuk perasaan di kompleks bangunan sebuah kementerian atas dakwaan melanggar perintah darurat, kata ketua Majlis Keselamatan Negara, Paradorn Pattanatabut kepada AFP.
Ini adalahkali pertama penunjuk perasaan ditahan dalam jumlah yang besar sejak rapat umum anti kerajaan bertujuan menyingkirkan Tingluck dan pentadbirannya bermula lebih tiga bulan lalu.
Penunjuk perasaan itu mendesak Yingluck supaya letak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada sebuah majlis sementara yang akan menjalankan pembaharuan bagi menangani rasuah dan salah guna kuasa sebelum satu pilihan raya diadakan.
Thailand terjerumus dalam krisis politik sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan Perdana Menteri ketika itu Thaksin Shinawatra, yang juga abang kepada Yingluck.
Dua belas orang terbunuh dan beratus yang lain cedera dalam keganasan politik yang ditandai dengan siri serangan bom tangan dan tembakan rambang mereka yang tidak dikenali.
Penunjuk perasaan bertindak menyekat persimpangan utama di tengah kota raya ini biarpun jumlah pesertanya semakin berkurangan berbanding pada Disember dan Januari ketika mana ia mencecah sehingga lebih 100 ribu orang.
Setakat ini pihak berkuasa belum mengumumkan sebarang pelan untuk mengosongkan persimpangan jalan di kawasan perniagaan itu.
Kerajaan Yingluck mengadakan pilihan raya umum pada 2 Februari lalu dalam usaha untuk meredakan ketegangan. Ia bagaimanapun dipulau oleh pembangkang yang mendakwa pilihan raya itu tidak akan menyelesaikan krisis politik tersebut.
Penunjuk perasaan juga menghalang 10,000 pusat pengundian daripada dibuka menyebabkan pengundi tidak dapat mengambil bahagian.
Penentang Yingluck menuduh beliau sebagai boneka kepada abangnya yang kini hidup di luar negara sejak 2008 bagi mengelak daripada hukuman penjara atas sabitan tuduhan rasuah.
Kumpulan penyokong Thaksin menang pilihan raya sejak lebih 10 tahun lalu dengan sokongan kuat daripada penduduk di wilayah utara.
Tetapi penduduk di wilayah selatan dan di Bangkok menuduh Thaksin dan adiknya menggunakan dana rakyat untuk membeli undi daripada pengundi luar bandar dengan pendekatan dasar yang popular termasuk skim subsidi beras yang kontroversi.