Anggota polis Cleveland tembak kanak-kanak 12 tahun dibebaskan

Agensi
Disember 30, 2015 15:22 MYT
Kes tembakan Tamir Rice mengundang kemarahan rakyat Amerika Syarikat khususnya warga kulit hitam yang sering berhadapan dengan keganasan pihak polis. - Foto AP
Pejabat pendakwaraya Ohio mengesahkan anggota polis yang menembak mati Tamir Rice, kanak-kanak berusia 12 tahun di luar pusat rekreasi Cleveland tidak akan menghadapi sebarang pertuduhan jenayah, lapor CNN.
Menurut Pendakwaraya Tim McGinty, barisan juri utama Chicago memutuskan untuk tidak mendakwa Timothy Loehmann dan Frank Garmback.
“Oleh kerana peristiwa ini merupakan satu kebetulan malang yang melibatkan kesilapan manusia dan kelemahan komunikasi, bukti tidak menunjukkan tindakan jenayah oleh polis,” ujar McGinty.
Loehmann yang merupakan anggota polis dalam latihan telah menembak Tamir Rice pada 22 November 2014. Garmback merupakan pegawai pelatihnya.
Menurut McGinty lagi, Tamir yang bertubuh lebih besar berbanding usianya berkemungkinan cuba untuk menyerahkan pistol mainannya atau menjelaskan bahawa itu bukan pistol sebenar kepada pihak polis.
“Namun begitu, tidak mungkin kedua-dua anggota polis tersebut dapat mengetahui niat Tamir kerana semuanya berlaku dengan pantas di hadapan mereka dalam perspektif yang berbeza,” tambah McGinty.
Pendakwaraya itu juga menegaskan bahawa adalah munasabah bagi pihak polis untuk menganggap Tamir pada masa itu sebagai ancaman kerana pistol yang dimiliki mangsa mirip pistol sebenar.
Analisis video FBI menunjukkan Tamir cuba mengeluarkan pistol yang tersisip di pinggang ketika diserbu oleh polis. Hanya selepas Tamir ditembak, pihak polis mendapati pistol tersebut sebenarnya mainan.
Respon keluarga
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada petang Isnin, keluarga Tamir mendakwa pendakwaraya sengaja cuai dalam mengendalikan kes berkenaan:
“Pendakwaraya McGinty sengaja mensabotaj kes ini, tidak pernah mewakili anak saya, dan bertindak seolah-olah sebagai peguambela kepada pihak polis. Zaman ini, dua orang anggota polis yang bebas dari dakwaan membunuh seorang kanak-kanak kulit hitam sudah dianggap perkara biasa, dan kami berkabung untuk Tamir dan untuk semua warga kulit hitam yang dibunuh polis tanpa sebarang pembelaan.”
Anggota polis bersyukur
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam mewakili kedua-dua anggota polis tersebut, mereka berterima kasih kepada barisan juri utama yang memeriksa fakta kes dengan teliti.
“Kami menghormati sistem kehakiman dan kesungguhan para juri dari kalangan masyarakat,” ujar kenyataan tersebut. “Kes ini merupakan tragedi kepada Rice dan para anggota polis yang terlibat. Kami hulurkan doa dan ingatan kepada mereka semua.”
Langkah seterusnya
Jabatan polis Cleveland akan mengadakan penilaian semula mengenai insiden tembakan tersebut setelah siasatan jenayah selesai, menurut Datuk Bandar Frank Jackson.
Ketua Polis Cleveland, Calvin Williams pula menegaskan tindakan disiplin akan dikenakan kepada kedua-dua anggota polis berkenaan sekiranya jawatankuasa penilaian semula mendapati mereka melanggar mana-mana polisi dan garis panduan.
Selepas keputusan diumumkan oleh pendakwaraya, sekumpulan penunjuk perasaan dilihat memenuhi jalanraya sambil melaung slogan bantahan seperti “Hey hey, ho ho, these killer cops have got to go.
#polis #Tamir Rice #Timothy Loehmann
;