Anggota Parlimen India bertafakur seketika memperingati mangsa banjir di Malaysia

Bernama
Februari 4, 2022 04:14 MYT
Antara 17 dan 19 Dis 2021, Malaysia dilanda hujan yang sangat lebat, menyebabkan bencana banjir yang teruk di beberapa bahagian. - Gambar fail/BERNAMA
NEW DELHI: Anggota Parlimen India bertafakur seketika bagi mengenang mangsa yang kehilangan nyawa dalam kejadian banjir di Malaysia baru-baru ini dan letusan gunung berapi di Tonga.
Rajya Sabha (Majlis Negara) pada Rabu "menzahirkan kesedihan yang mendalam" terhadap kemusnahan akibat bencana banjir di Malaysia pada Disember, kata Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dewan itu turut merakamkan ucapan takziah dan simpati atas kehilangan yang dialami oleh rakyat Malaysia.
"Ahli-ahli Yang Berhormat, antara 17 dan 19 Disember, 2021, Malaysia dilanda hujan yang sangat lebat, menyebabkan bencana banjir yang teruk di beberapa bahagian negara itu. Ia adalah antara bencana banjir yang paling dahsyat dalam seratus tahun di Malaysia," kata Naib Presiden India dan Pengerusi Rajya Sabha M. Venkaiah Naidu, menurut makluman prosiding Dewan pada Rabu.
"Banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini mengakibatkan kerosakan besar kepada harta benda dan mata pencarian penduduk," kata Naidu.
Anggota Dewan bangun dan bertafakur seketika sebagai tanda penghormatan kepada mangsa banjir Malaysia dan mangsa yang terkorban dalam bencana Tonga pada Januari.
Ia merupakan sebahagian daripada amalan badan perundangan India itu bagi menunjukkan penghormatan terhadap kematian bekas ahli, personaliti penting, dan bencana alam atau peristiwa tragis lain yang melibatkan kehilangan nyawa.
Rajya Sabha pada Rabu turut bertafakur bagi mengenang Desmond Tutu, ikon anti-aparteid yang memenangi Hadiah Keamanan Nobel Afrika Selatan, yang meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 26 Disember lepas.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #Malaysia #Anggota Parlimen India bertafakur #gunung berapi di Tonga
;