Anggota komando AS buat pengakuan bunuh Osama

Astro Awani
November 9, 2014 08:03 MYT
O'Neill (gambar) membuat kenyataan terbuka itu kerana tidak mahu ada pihak lain yang mendedahkan identitinya - Foto AFP
Seorang bekas anggota komando tentera laut Amerika Syarikat, Robert O'Neill tampil mendakwa dia adalah pembunuh orang paling diburu dan pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama Bin Laden.
O'Neill membuat kenyataan terbuka itu kerana tidak mahu ada pihak lain yang mendedahkan identitinya.
Pengakuan itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati di antara anggota operasi perkhidmatan rahsia Amerika itu.
Mereka menganggap O'Neill melanggar kod rahsia, bila membuat pendedahan mendakwa melepaskan dua tembakan ke dahi Osama dalam satu serbuan pada 2011.
O'Neill sebelum ini bercerita mengenai serbuan ke atas tempat persembunyian Osama kepada majalah Esquire yang hanya meletakkan namanya sebagai 'si penembak'.
Dalam perkembangan yang sama, laporan akhbar Washington Post pada Khamis turut menamakan O'Neill sebagai penembak terbabit.
Agensi berita The Associated Press pula melaporkan, dua anggota pasukan keselamatan yang mengenali O'Neill mengesahkan pembabitannya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon turut mengesahkan O'Neill sebagai anggota komando tentera laut yang turut serta dalam serbuan itu.
Namun Pentagon tidak dapat mengesahkan siapa yang melepaskan tembakan itu kerana beberapa anggota lain turut melepaskan tembakan ketika serbuan.
Pentagon dalam satu kenyataan berkata, sekiranya O'Neill mendedahkan perkara itu dalam mana-mana wawancara terbuka, dia boleh disiasat atau diambil tindakan oleh Jabatan Kehakiman.
Osama dibunuh dalam satu serbuan pada 2011 di tempat persembunyian rahsianya di Pakistan.
Dia antara lain didakwa bertanggungjawab atas serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
#Al-Qaeda #Amerika Syarikat #Bin Laden #O'Neill #Osama #Pentagon
;