Anggota bomba maut, 25 lagi hilang dalam banjir besar di sempadan Perancis, Itali

Agensi
Oktober 3, 2020 07:56 MYT
Ribut dan banjir besar itu turut memusnahkan jambatan sehingga menjejaskan lalu lintas sekali gus menyebabkan penduduk terputus hubungan. -AP
SAINT MARTIN VESUBIE: Seorang anggota bomba dari Itali terbunuh manakala 25 yang lain hilang dalam hujan lebat di wilayah pergunungan di sempadan Perancis dan Itali.
Ribut yang bergerak semalaman melintasi tenggara Perancis dan Utara Itali menyebabkan banjir besar di kedua-dua sempadan negara berkenaan.
Dalam kejadian itu turut memusnahkan jambatan sehingga menjejaskan lalu lintas sekali gus menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Sementara itu, di bahagian Tenggara Perancis, hujan melanda selama hampir 12 jam di kawasan pergunungan kota Nice.
Pihak berkuasa berkata lapan individu hilang termasuk dua anggota bomba ketika dalam perjalanan melakukan operasi menyelamat.
Pada masa sama, lebih 100 buah rumah musnah dan rosak teruk akibat bencana alam itu sehingga mengakibatkan puluhan penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Agensi cuaca kebangsaan Perancis, Meteo France berkata taburan hujan sehingga 500 milimeter dicatatkan di beberapa kawasan di mana jumlahnya sama dengan hujan selama hampir satu tahun.
Meteo France turut memberi amaran bahaya cuaca berkenaan dengan semua sekolah di wilayah berkenaan ditutup.
#rumah #banjir #Itali #maut #hilang #sekolah #bomba #operasi #bencana alam #Terbunuh #Perancis
;