Anggota ASEAN setuju bangun bandar raya mampan

Bernama
Ogos 4, 2023 16:21 MYT
Deklarasi bersama itu ditandatangani semasa MGMAC dan AMF yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 1-2 Ogos.
HANOI: Gabenor dan datuk bandar negara anggota ASEAN pada Rabu menandatangani deklarasi bersama bagi menggalakkan pembangunan bandar raya mampan, inklusif dan berdaya tahan di rantau ini.
Deklarasi bersama itu ditandatangani semasa Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) dan Forum Datuk Bandar ASEAN (AMF) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 1-2 Ogos.
"Kira-kira 500 peserta termasuk gabenor, datuk bandar dan wakil kerajaan negara anggota ASEAN hadir pada acara itu," lapor Agensi Berita Vietnam.
Dalam ucapan penutupan, Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono menekankan bahawa deklarasi bersama itu merupakan perjanjian untuk memperkukuh kerjasama antara blok bagi menyediakan kehidupan yang mampan di bandar, sekali gus menyokong pembangunan komuniti ASEAN.
Perwakilan menyatakan keyakinan mereka bahawa pembangunan bandar mampan akan mengukuhkan matlamat bersama ASEAN dan seterusnya meningkatkan kedudukannya sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serantau.
-- BERNAMA
#ASEAN #pembangunan bandar #Datuk Bandar ASEAN #Gabenor
;