Andria Zafirakou dinobat guru terbaik dunia

Agensi
Mac 18, 2018 07:44 MYT
Andria Zafirakou, 39 tahun, menewaskan 30,000 permohonan dari seluruh dunia yang turut bersaing untuk menerima anugerah sama. -AP
Seorang guru seni dari United Kingdom membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta selepas dinobatkan sebagai penerima anugerah Global Teacher Prize di Dubai pada Ahad.
Andria Zafirakou, 39 tahun, menewaskan 30,000 permohonan dari seluruh dunia yang turut bersaing untuk menerima anugerah sama.
Anugerah tahunan ini hanya diberikan kepada seorang guru di dunia yang menyumbang jasa, tenaga dan bakti yang signifikan dalam bidang pendidikan.
Zafirakou merupakan seorang guru di Alperton Community School diiktiraf atas jasanya membantu pelajarnya dan membuatkan mereka berasa selamat untuk hadir ke sekolah walaupun sekolah tersebut berada di kawasan yang mencatatkan kes pembunuhan tertinggi di negaranya.
Kebanyakan anak muridnya pula berasal dari keluarga miskin di mana ibu bapa mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, Zafirakou yang berasal dari London berkata anak muridnya mempunyai semangat yang tinggi untuk mendalami ilmu biarpun dihimpit pelbagai bentuk kesusahan.
Apabila ditanya apa yang akan dilakukan dengan wang tersebut, Zafirakou berkata dia ingin menganjurkan sebuah projek untuk komunitinya bagi meraikan kreativiti mereka.
Anugerah Global Teacher Prize itu disampaikan oleh pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
#Alperton Community School #Andria Zafirakou #Dubai #Global Teacher Prize #guru seni #guru terbaik #United Kingdom
;