Andrew Tate ditahan di Romania atas dakwaan penyeludupan manusia

Agensi
Disember 30, 2022 12:30 MYT
Andrew Tate ditahan bersama adiknya Tristan, serta dua suspek lain selepas juga dipercayai terlibat dalam penculikan dua wanita di negara itu. - Gambar REUTERS
BUCHAREST: Pempengaruh media sosial terkenal, Andrew Tate ditahan polis kerana dipercayai menyeludup manusia, rogol dan membentuk kumpulan jenayah terancang dalam satu serbuan di kediaman mewahnya di Bucharest, Romania, pada Khamis.
Memetik laporan Reuters, Tate ditahan bersama adiknya Tristan serta dua suspek lain yang juga dipercayai terlibat dalam penculikan dua wanita di negara itu.
Kumpulan itu disiasat Directorate for Investigating Organised Crime and Terrorism (DIICOT) kerana dipercayai menubuhkan kumpulan pemerdagangan manusia untuk tujuan exploitasi seks .
Berdasarkan siasatan awal, mereka dipercayai menculik wanita untuk digunakan dalam pembuatan video pornografi secara dalam talian.
Tate mula disoal siat sejak bulan April lepas selepas polis menjumpai dua orang perempuan yang mendakwa ditahan di luar kehendak mereka di kediamannya.
Andrew Tate atau nama sebenarnya Emory Andrew Tate III merupakan seorang bekas peninju kickboxing dan menjadi semakin terkenal pada tahun ini kerana kata-katanya yang seksis dan kontroversi di media sosial.
Baru-baru ini, beliau terlibat dengan pertelingkahan dalam talian dengan aktivis alam sekitar, Greta Thunberg di Twitter.
Polis berjaya mengesan lokasi Tate selepas dia berkongsi video mengejek aktivis tersebut.
Seramai enam orang perempuan sudah dijumpai oleh polis yang didakwa telah dieksploitasikan oleh Andrew Tate.
Kedua-dua beradik tersebut enggan memberi sebarang komen, namun peguam mereka telah mengesahkan bahawa mereka telah ditahan dan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
#media sosial #Andrew Tate #penyeludupan manusia #Romania
;