"Andainya kami maut di medan perang, carilah jenazah bergelang biru" - Bapa warga Palestin

Agensi
Oktober 25, 2023 19:48 MYT
Ali Daba dan isterinya mengambil keputusan memisahkan anak-anak mereka. Gelang biru sebagai tanda sekiranya mereka gugur di medan perang. - Foto Reuters
KHAN YOUNIS: Sebut saja gelang, pasti terbayang kilauan emas, kalau tidak emas pun, warnanya indah, dipakai sebagai perhiasan, molek letaknya di pergelangan tangan.
Gelang memang sinonim sebagai perhiasan tetapi gelang dari Ali Daba, rakyat Palestin untuk isteri dan anaknya bukanlah gelang perhiasan semata.
Sayunya, seutas gelang adalah sebagai tanda buat lelaki berusia 40 tahun itu untuk keluarganya, agar senang mencari jenazah mereka sekiranya terbunuh dalam perang.
Ringkas sahaja gelangnya, berwarna biru, dengan setiap daripada ahli keluarganya memakai gelang yang sama.
Dalam fikirannya hanya satu, sekiranya maut menjemput salah seorang daripada mereka lebih awal, maka akan ada yang lain membantu menguruskan jenazah mereka, mengenali hanya melalui ‘gelang biru’ itu.
“Bila saya tinggalkan bandar Gaza (Gaza City), saya datang ke sini (Khan Younis) bersama isteri dan anak. Kami dalam ketakutan. Jadi kami putuskan untuk berpisah.
“Saya beritahu isteri, bawa dua anak lelaki dan dua anak perempuan bersamanya ke Gaza dan kami (bersama anak yang lain) kekal di sini, Khan Younis.
“Kalau kami maut, sekurang-kurangnya isteri saya dan anak-anak hidup. Kami pakai gelang, semuanya, sebagai andai… andai sesuatu berlaku kepada kami.
“Saya pernah melihat jenazah tidak sempurna. Kalau sesuatu berlaku dan jenazah ahli keluarga saya dalam keadaan tidak sempurna, saya boleh kenal mereka melalui gelang tu.
“Saya akan kutip satu-persatu tubuh badan mereka dan sempurnakan jenazahnya,” katanya, memetik laporan Reuters.
Konflik di wilayah itu menyebabkan Daba berpisah dengan isterinya dengan dia dan beberapa anak ke Khan Younis manakala isterinya dan anak-anak lain kekal di bandar Gaza.
Dia sempat berpesan kepada isterinya, sekiranya dia maut di Khan Younis, sekurang-kurangnya isterinya masih ada, meneruskan legasi keluarganya.
Bagi anaknya, Shahd Daba pula, di usia 14 tahun dia sudah terpisah dengan keluarganya angkara perang dan bagi yang tidak mengalaminya, anda tidak akan boleh tahu apa mereka rasa.
“Semua adik-beradik kami pakai gelang ini. Sekarang kami terpisah, separuh di Khan Younis dan separuh di bandar Gaza.
“Cara ini (memakai gelang), kami boleh kenal sesama kami, dengan tanda ini. Kalau kami terbunuh, ibu kami boleh jumpa jenazah kami.
“Andai kata ibu kami atau adik-beradik lain terbunuh, kami boleh kenal jenazah mereka,” ujarnya.
Israel telah meletakkan Gaza, rumah kepada kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin, di bawah pengepungan total dan menyerang kawasan itu dengan serangan udara.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 5,791 rakyat Palestin telah terbunuh oleh pengeboman Israel sejak 7 Oktober, termasuk 2,360 kanak-kanak.
#Gaza #Israel #Kanak-kanak #Palestin
;