"Anda semua akan mati!' - Suspek tembakan rambang sekolah Florida
Agensi
Mei 30, 2018 07:46 MYT
Mei 30, 2018 07:46 MYT
VIDEO suspek utama pembunuhan kejam dalam serangan di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, Florida, Februari lalu yang membunuh 17 orang, Nikolas Cruz, tersebar yang menunjukkan bagaimana dia merancang serangan tersebut.
Dalam satu siri video telefon bimbit yang didedahkan pihak pendakwa raya pada Rabu, Cruz yang memakai topi dan kemeja-T hijau memperkenalkan dirinya sebagai penembak dan menceritakan niatnya untuk menjadi 'penembak sekolah terkemuka' bagi tahun 2018.
Dalam video yang diambil sebelum serangan 14 Feb itu, Cruz dengan jelas ingin mensasarkan untuk membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.
"Apabila anda tengok berita nanti, anda semua akan tahu siapa saya," katanya sambil ketawa. "Anda semua akan mati... Saya tidak sabar," katanya dalam video pertama.
Dia terus mengatakan dia mahu menggunakan senapang AR-15 untuk membunuh sekurang-kurangnya 20 orang di sekolah menengah tersebut.
Dalam video kedua, Cruz secara ringkas membincangkan logistik, termasuk bagaimana dia akan menaiki Uber ke kampus pada kira-kira 2.40 petang.
Dia berkata dia akan berjalan ke kampus, naik beberapa tangga, membuka begnya untuk mengeluarkan senjata dan mula menembak.
Video pengawasan sekolah menunjukkan apa yang Cruz lakukan pada hari serangan hampir tepat. Satu-satunya perbezaan ialah dia tiba di sekolah pada 2.19 petang.
Dalam video ketiga pula, dia bercakap mengenai kesepiannya, kemarahan dan kebencian, dan mengumumkan bahawa "hari pembunuhan saya akan bermula."
"Saya hidup semata-mata, saya hidup dalam pengasingan dan kesendirian, saya benci semua orang dan segala-galanya, tetapi kuasa AR saya, anda semua akan tahu siapa saya. Cukuplah saya sering diberitahu apa yang perlu saya lakukan dan bila saya perlu lakukannya," katanya.
Dia juga ada beri mesej kepada seorang bekas teman wanitanya, dengan berkata, "Saya berharap dapat melihat anda di akhirat."
Cruz, 19 tahun, kini berdepan 17 pertuduhan membunuh di mahkamah.
Peguamnya telah berulang kali mengatakan Cruz akan mengaku bersalah jika dijamin hukuman penjara tanpa parol, tetapi pihak pendakwa enggan mengetepikan hukuman mati.