Anda rela makan sotong kurita hidup-hidup seperti selebriti Korea?
Agensi
April 1, 2019 19:40 MYT
April 1, 2019 19:40 MYT
JIKA ditonton di laman Youtube, video yang mencecah jutaan tontontan bukan sahaja diraih oleh muzik video artis popular antarabangsa.
Sebaliknya, sejak kebelakangan ini, terdapat satu ‘trend’ baharu yang menjadi tarikan kepada seluruh warga dunia termasuk rakyat Malaysia iaitu video jenis ‘mukbang.’
'Mukbang' ialah perkataan yang berasal dari Korea Selatan yang membawa maksud 'meokneun' (makan) dan 'bangsong' (siaran).
Netizen berkongsi video mereka yang sedang menikmati sajian sehingga mencetus keinginan orang ramai untuk mencuba.
Kebanyakannya yang terdiri daripada YouTuber dari Korea Selatan menampilkan video yang membuatkan penonton terliur dengan makanan yang menarik seperti ramen, ayam goreng, dan lain-lain serta ditambahkan pula dengan bunyi yang menggiurkan atau kerangupan suatu sajian itu.
Namun, yang menjadi suatu yang pelik ialah apabila seorang ‘Youtuber’ bernama Ssoyoung telah mencabar dirinya untuk makan seluruh sotong kurita bersaiz kecil yang masih hidup.
Ssoyoung yang juga seorang pelakon dikenali sebagai YouTubers berkongsi video berkonsepkan ASMR (autonomous sensory meridian response) membawa maksud merangsang pancaindera seseorang.
Dalam setiap video yang dirakamkan juga, ASMR YouTubers sering mengadunkan kesan bunyi berdasarkan perbuatan dan aksi makan seperti mengunyah, menelan atau menghirup sehingga mencetuskan rangsangan dalam kalangan penonton.
Video Ssoyoung menjamah sotong kuritan menjadi tular sehingga ditonton oleh dua juta orang selepas dimuat naik di saluran YouTube pada 21 Mac lalu.
Rakaman itu dilakukan sebagai menyahut cabaran pengikut dan netizen dalam ruangan komen pada video berkenaan.
Rata-rata peminat dan netizen mencadangkan Ssoyoung memakan sotong kurita hidup-hidup secara mentah dan memuatkan rakaman di saluran berkenaan.
Oleh kerana sotong kurita itu masih hidup, haiwan marin berkenaan sentiasa menjalar sehingga memaksa Ssoyoung mengawal pergerakannya bagi mengelakkanya melepaskan diri.
Sotong segar itu dicicah dengan sos dan dikunyah oleh Ssoyoung dalam video yang berdurasi selama 14 minit.
Selain rakaman video memakan sotong, Ssoyoung juga sebelum itu memuat naik video menjamah hati lembu mentah dan cacing gergasi.
Ssoyoung menikmati kesemua hidangan berkenaan secara selamba tanpa menunjukkan tanda-tanda dia mual atau berasa loya.