Anda pandai pilih durian? Bapa ini mahu jodohkan anda dengan anaknya berserta segala harta!
Agensi
Mac 5, 2019 22:54 MYT
Mac 5, 2019 22:54 MYT
SETIAP ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak kesayangan mereka bahagia, berkahwin dan mempunyai cahaya mata.
Itulah yang dilakukan oleh seorang bapa dari Thailand, Anont Rotthong, untuk mencari pasangan hidup untuk anaknya.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, jutawan ladang durian dari Thailand itu menawarkan ganjaran perkahwinan bersama anaknya selain menghadiahkan wang sejumlah RM1.28 juta (10 juta Baht) serta asetnya yang lain.
Namun, bapa tersebut meletakkan syarat-syarat tertentu di mana calon menantu itu mesti tahu cara membeli dan memilih durian.
Beliau juga berkata, calon tersebut tidak perlu membayar apa-apa pun dalam mas kahwin malah dia sendiri yang akan menguruskan segalanya termasuk kenderaan, satu rumah, dua pasar durian dan dijodohkan lagi dengan anak perempuannya yang sudah memiliki kelulusan dengan kepujian dari Assumption University dan ijazah sarjana dari Universiti Sun Yat-Sen di China.
Tambah Rotthong, dia ingin melakukan pembaharuan dan dia sedang mencari waris untuk meneruskan perniagaannya kerana khuatir dengan usianya yang semakin lanjut.
”Namun lelaki itu mestilah seorang lelaki yang budiman dan bukan kaki judi. Tambahan, dia mesti mencintai anak saya sepenuh hatinya dan kuat bekerja”, kata beliau.
"Orang yang akan menjadi keluarga saya mestilah baik dan tidak boleh menjadi seorang kaki judi, yang penting dia bekerja keras dan tulus mencintai anak perempuan saya," ujarnya.
Anont yang memiliki dua ladang durian di Chumphone, termasuk ladang Uay Chai di Tambon Wang Takor dari daerah Lang Suan ini juga berkata bakal menantunya hanya perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan tidak perlu berasal dari keluarga kaya atau berpendidikan tinggi.
Kata Anont, perjalanan perniagaannya dimulakan semasa dia tidak mempunyai apa-apa lagi sehinggalah dia bergelar jutawan.
Tambahan, dia juga mahukan anak muda di luar sana diberi peluang dan harapan untuk berjaya.
Menurut anaknya, Kansita Rotthong, 26, dia terkejut dan mengganggap bapanya bergurau tetapi sebenarnya tidak. Dengan itu, dia tidak melawan dengan keputusan bapanya dan mengharapkan yang terbaik untuk dirinya.