Anda mampu? Hotel mewah pertama di angkasa bernilai RM37 juta!
Agensi
April 10, 2018 12:55 MYT
April 10, 2018 12:55 MYT
HOTEL mewah pertama di angkasa bakal beroperasi dalam masa empat tahun lagi, pada tahun 2022 serta menjanjikan pengalaman yang luar biasa buat pelancong.
Menurut laporan CNN, hotel tersebut akan menyediakan dua orang kru dan ruang bilik yang memuatkan enam orang dalam pengalaman percutian di angkasa selama 12 hari itu.
Pelancong perlu membayar $9.5 juta (RM37 juta) untuk seorang malah deposit sebanyak $80,000 (RM310 ribu) perlu dibayar terlebih dahulu sebelum menikmati pengalaman percutian berharga itu.
‘Aurora Station’ dibina oleh syarikat teknologi ruang angkasa Amerika Syarikat, Orion Span yang mempunyai pasukan tersendiri dalam misi jelajah angkasa bersama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) lebih 140 tahun.
"Matlamat kami adalah menjadikan ruang angkasa dapat diakses oleh semua orang dan ‘Aurora Station’ akan segera beroperasi membawa pelancong ke ruang angkasa sebaik dilancarkan dengan harga yang lebih rendah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Orion Span Frank Bunger dalam satu kenyataan.
Menariknya, pelancong akan diterbangkan pada ketinggian 200 batu di atas permukaan bumi dan hotel tersebut juga bakal mengelilingi bumi setiap 90 minit di mana pelancong dapat melihat matahari terbit dan terbenam hampir 16 kali dalam satu hari.
Namun pelancong perlu menjalani latihan intensif pertama selama tiga bulan sebelum melancong di angkasa.