Ancaman Taufan Stan resahkan penduduk barat laut Australia
Agensi
Januari 31, 2016 11:36 MYT
Januari 31, 2016 11:36 MYT
Taufan tropika yang merentas bahagian barat laut Australia dan membawa bersama angin puting beliung dilaporkan semakin lemah pada Ahad, meskipun penduduk di daratan sudah menerima amaran kod merah berikutan jangkaan pergerakannya.
Menurut media tempatan, Agensi Meteorologi Australia masih mengekalkan kemungkinan risiko hujan lebat dan ribut petir yang mengikuti pergerakan taufan tersebut di daratan.
Agensi itu berkata Taufan Stan Kategori 2 telah membadai kawasan sekitar 120km di timur laut sebuah hab eksport bijih besi terbesar di dunia iaitu Port Hedland pada awal pagi Ahad.
Semua pihak kimi dalam keadaan berjaga-jaga tentang taufan yang bergerak perlahan itu kerana belum dapat dipastikan jika kekuatannya akan bertukar menjadi taufan Kategori 3, atau lebih dahsyat.
Ternyata kehadiran Stan telah mencetus amaran peringkat tinggi dengan orang ramai diingatkan supaya berlindung di bahagian paling kukuh dan selamat di dalam bangunan.
“Terdapat potensi tiupan angin yang mampu memusnahkan iaitu dengan kelajuan 130km sejam tidak lama lagi,” ujar kenyataan amaran di laman web rasmi agensi berkenaan.
Hujan lebat, banjir, lautan bergelora dan gelombang yang lebih tinggi daripada biasa telah diramal berlaku seiring kedatangan Stan, walaupun kini ia melemah.
Beberapa pelabuhan seperti di Dampier dan Hedland, yang banhyak mengendalikan kedatangan kapal membawa gas dan bijih besi, telah ditutup oleh pihak berkuasa sejak Jumaat lalu.
Stan adalah taufan pertama bagi musim yang bermula sejak November hingga penghujung April, dengan dijangkakan berlaku beberapa siri taufan lain.