Ancaman serangan pengganas di Jakarta, lebih 32,000 tentera dikerah berkawal
Agensi
Mei 15, 2019 08:09 MYT
Mei 15, 2019 08:09 MYT
Indonesia mengerahkan lebih 32,000 tentera untuk mengawal keselamatan di sekitar Jakarta susulan menerima maklumat risikan tentang kemungkinan serangan pengganas ketika keputusan rasmi Pemilihan Umum 2019 (Pemilu) diumumkan pada minggu depan.
Agensi keselamatan kini berhempas-pulas untuk menggagalkan cubaan serangan bom itu yang dipercayai dirancang oleh kumpulan militan tempatan.
"Terdapat petunjuk pengganas mungkin akan melancarkan serangan ketika orang ramai berkumpul di bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 22 Mei ini. Jadi, kami mengambil langkah berjaga-jaga secara optimum untuk menggagalkan tindakan sedemikian," kata jurucakap Polis Nasional, Dedi Prasetyo.
Jelasnya, polis dan tentera juga akan mendirikan kepungan sekitar ibu pejabat Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu).
Difahamkan, bangunan itu terletak di Jalan M H Thamrin di Jakarta di mana serangan pengganas pertama didalangi Daesh berlaku pada 2016.
Minggu lalu, penyokong calon presiden, Prabowo Subianto mengadakan dua perhimpunan di Bawaslu untuk memberi tekanan kepada pemerhati pilihan raya bagi bertindak terhadap dakwaan berlaku penyelewengan undi ketika pengundian pada 17 April lalu.
Lebih banyak protes dijangka berlangsung beberapa hari akan datang selepas keputusan awal menunjukkan Joko Widodo atau Jokowi mendahului Prabowo dengan 56.2 peratus.
Langkah untuk meningkatkan keselamatan itu dibuat selepas pihak berkuasa berjaya menumpaskan sel pengganas pada minggu lalu.
#ancaman keganasan
#Daesh
#Indonesia
#Jakarta
#Joko Widodo
#keselamatan
#militan
#pengganas
#perhimpunan
#pilihan raya
#Prabowo Subianto
#tentera