Ancaman perang! Malapetaka kemanusiaan kini menghantui golongan muda
Asyraf Roslan
Januari 22, 2020 08:24 MYT
Januari 22, 2020 08:24 MYT
LUMRAH manusia sudah pastinya mahu hidup dalam suasana aman dan damai tanpa peperangan.
Namun dianggarkan seramai 16,000 generasi milenia dari 16 negara dilapor risau dengan masa depan mereka selain diselubungi tekanan amat tinggi dan cenderung berada dalam keadaan ketakutan.
Tiga reaksi itu diperoleh menerusi kaji selidik yang dijalankan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) melibatkan golongan milenia yang tinggal di negara bebas perang, manakala separuh lagi mengalami sendiri pengalaman berada dalam situasi konflik.
Bagaimanapun, menurut kaji selidik itu, golongan yang berusia 20 hingga 30 tahun itu percaya serangan nuklear tidak akan berlaku pada dekad akan datang.
Kebanyakan mereka melihat malapetaka peperangan sebagai sesuatu yang berkemungkinan berlaku dan percaya ia harus mempunyai had.
Jelas Presiden ICRC, Peter Maurer, pada era ini kemungkinan berlakunya kesan buruk akibat perang yang mungkin menyebabkan peningkatan kehilangan polarisasi dan nilai kemanusiaan.
"Jika pandangan golongan milenia terhadap perang dunia ketiga itu tepat, kesengsaraan negara-negara akan lebih besar.
"Ia peringatan betapa pentingnya undang-undang perang diwujudkan sekarang dan masa depan bagi melindungi manusia," katanya.
Pada masa sama, kaji selidik itu menunjukkan pengalaman perang menyebabkan masyarakat benci dengan malapetaka tersebut.
Di Syria, sebanyak 98 peratus menyatakan tidak boleh menerima langsung penggunaan senjata nuklear, tidak boleh menerima langsung senjata kimia dan senjata biologikal (96 peratus), serta percaya musuh yang ditangkap dibenarkan berhubung dengan ahli keluarga masing-masing (85 peratus).
Kata Maurer, kaji selidik yang telah dilaksanakan dalam kalangan milenia di Afghanistan, Colombia, Perancis, Indonesia, Israel, Amerika Syarikat, Mexico, dan Malaysia itu mendapati ada di antara mereka yang mempunyai pengalaman berdepan dengan perang menyebabkan mereka benci dengan malapetaka tersebut.
"Apabila kamu melihat kawan kamu dan keluarganya menderita dengan kekejaman perang, kamu sudah tentu mahu tiada sebarang peperangan senjata berlaku," katanya.
Kajian soal selidik ‘Millennials on War’ telah bermula di antara 1 Jun hingga 7 Oktober dan dilaksanakan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dengan kerjasama syarikat penyelidikan Ipsos.
Apa pula persepsi anda mengenai peperangan dunia? Kongsi pandangan anda.
#golongan milenia
#golongan muda
#ICRC
#Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah
#perang
#senjata biologikal
#senjata kimia
#senjata nuklear