Ancaman keganasan terhadap Singapura masih tinggi - Laporan

Bernama
Julai 25, 2024 13:31 MYT
Pemacu utama ancaman di Singapura ialah individu yang menjadi radikal menerusi pendedahan dalam talian dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura telah menangani tiga kes sedemikian sejak Julai lepas. - Gambar fail/Unsplash
SINGAPURA: Ancaman keganasan terhadap Singapura masih tinggi walaupun tiada petunjuk serangan akan berlaku dalam masa terdekat, menurut satu laporan rasmi pada Khamis, lapor Xinhua.
Ancaman keganasan telah meningkat sejak konflik Israel-Palestin, dengan peningkatan retorik anti-Singapura di media sosial daripada elemen ekstremis serantau, menurut Laporan Penilaian Ancaman Keganasan Singapura 2024.
Pemacu utama ancaman di Singapura ialah individu yang menjadi radikal menerusi pendedahan dalam talian dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura telah menangani tiga kes sedemikian sejak Julai lepas.
Dua daripadanya adalah kanak-kanak lelaki, berumur 14 dan 16 tahun dan kes ketiga melibatkan seorang wanita berusia 33 tahun, menurut laporan tahunan itu.
Konflik Israel-Palestin yang berterusan mempengaruhi kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun dan wanita berusia 33 tahun itu menjadi radikal.
Kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun itu pula telah menjadi radikal kerana terpengaruh dengan ideologi ekstremis sayap kanan, menurut laporan itu.
Pihak berkuasa Singapura telah menangani 52 individu yang menjadi radikal, termasuk 40 rakyat Singapura, sejak 2015.
-- BERNAMA
#media sosial #menjadi radikal #Kanak-kanak #ideologi ekstremis